Koleksi Penerbitan

PENERBITAN

29 Sept 2016

Program Bicara Buku Sesi Ke-7

Program Bicara Buku Sesi Ke-7 telah diadakan ada 28 September 2016 bersama dua orang pensyarah iaitu Encik Teh Hang Leng (Jabatan Ilmu Pendidikan) dan Encik Zainal Abidin Bin Sulaiman (GERKO) bersama dua orang pelajar dari Unit R5 iaitu Cik Meera A/P Seenivasan dan Cik Saalini A/P Paramasiwan.

Program ini diadakan pada hari Rabu bermula 2.30 petang sehingga 3.15 petang. Program Bicara Buku ini diadakan untuk memberi peluang kepada pensyarah dan pelajar IPGKI berkongsi ilmu tentang buku yang telah dibacakan. Program ini telah dihadiri oleh seramai 30 orang pelajar dan pensyarah.


Program bicara buku pada ini terbahagi kepada empat sesi. Sesi pertama dimulakan dengan ulasan buku oleh Encik Teh Hang Leng dengan sebuah buku pendidikan berbahasa Cina berjudul Qing Wen Hong Lan Laoi Shi (Persoalan Pendidikan Kepada Cikgu Hong Lan). Buku ini mengutarakan tentang sistem pendidikan pada masakini . Di dalam buku ini juga terdapat persoalan-persoalan dari kalangan ibu bapa dalam peranan guru mendidik anak-anak mereka.


Sesi kedua bicara buku ini telah diteruskan dengan bicara buku oleh Encik Zainal Abidin Bin Sulaiman dengan buku motivasi yang berjudul 'The Success System That Never Fail' karya W. Clement Stone. Buku ini adalah ringkasan idea-idea daripada penulis mengenai prinsip-prinsip yang akan menjamin kejayaan antaranya adalah pengurusan masa, tahu arah tuju kemahuan dan kembangkan pengetahuan.


Pada sesi ketiga pula diteruskan dengan Cik Meera A/P Seenivasan dengan novel berjudul 'Ombak rindu' karya Fauziah Ashari. Novel ini mengisahkan Izzah adalah seorang anak yatim piatu yang kematian ibu bapa akibat kemalangan jalan raya. Tugas memelihara Izzah diambil alih oleh bapa saudaranya iaitu Taha. Isteri Taha tidak senang dengan kehadiran Izzah lalu menuduh Izzah membawa bencana di dalam keluarga.


Sesi keempat pula diteruskan dengan  Cik Saalini A/P Paramasiwan dengan novel berbahasa Tamil yang berjudul 'Antima Kalam' yang bermaksud masa selepas matahari terbenam. Novel ini menceritakan mengenai kecekalan Sundaram, seorang guru besar dan juga guru disiplin yang terpaksa menerima hakikat bahawa dirinya menghidapi barah otak. Selain itu, beliau juga terpaksa menerima hakikat yang cucunya juga menghidapi barah darah. Tidak berakhir disitu, beliau juga terpaksa berhadapan dengan konflik keluarga yang dihadapi oleh anak perempuannya. Tetapi walau apa pun masalah hidup, Sundaram dapat menghadapi semua masalahnya dengan tenang dan positif.

Akhir sekali bicara buku ini ditamatkan dengan pemberian sijil oleh En. S. Ahmad Suhaimi Bin S. Ahmad Said selaku wakil kepada Ketua Unit Perpustakaan kepada keempat-empat orang penyampai bicara buku tersebut. Tahniah diucapkan di atas sumbangan yang diberikan oleh kesemua pembicara buku pada sesi kali ini. 



No comments:

Post a Comment