Selamat Datang ke Blog Rasmi Perpustakaan Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh....

15 Feb 2015

Berita - Perpustakaan Medium Keharmonian Negara

Perpustakaan merupakan satu medium efektif bagi mengumpulkan komuniti daripada berbilang bangsa selain mengisi dan meningkatkan ilmu pengetahuan sedia ada.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ramai yang tidak menyedari bahawa pembentukan negara yang maju inteleknya adalah melalui komunikasi bernas di antara berbilang kaum dan pertukaran pendapat yang berlaku secara tidak langsung melalui kewujudan bangunan ilmu seperti perpustakaan.
Menurut beliau, kerajaan menubuhkan perpustakaan untuk merealisasi hasrat memperhebat dan memperkasa budaya membaca rakyat Malaysia, khususnya di Perak di samping, berpeluang bergaul dan berinteraksi bersama rakan berbilang bangsa, dan dari pelbagai latar belakang.
"Keharmonian dan kesepakatan inilah yang sebenarnya akan memajukan Malaysia, kerana selain menimba ilmu dari halaman buku mereka juga dapat mentafsir dan melontarkan pandangan kritikal satu masa kelak," katanya kepada PerakNews.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perpustakaan 1Malaysia Dato' Seri Husni di Chemor, pada pagi Ahad.
Jelasnya, kerajaan akan sentiasa melaksanakan pelbagai program dan aktiviti dalam memastikan amalan atau budaya membaca tersemai dalam setiap ahli komuniti bagi memastikan konsep pembelajaran sepanjang hayat tercapai.
"Di sekolah atau institusi pengajian tinggi, penuntut ilmu dibekalkan dengan pembelajaran rasmi, namun dengan wujudnya gedung ilmu seperti perpustakaan ini, seluruh masyarakat di dalam dan luar bandar dapat memperoleh manfaat pembelajaran tidak rasmi sepanjang hayat mereka," katanya lagi.
Jumlah kos keseluruhan bagi perpustakaan yang dinamakan sempena ahli Parlimen Tambun tersebut adalah sebanyak RM684,000, termasuk kos pembinaan serta kos pengisian bahan bacaan dan kemudahan am yang lain.
Ahmad Husni berkata, setakat ini terdapat 84 perpustakaan desa, sebuah perpustakaan negeri, 13 perpustakaan cawangan, sebuah perpustakaan pekan dan empat perpustakaan bergerak yang telah dibina di seluruh negeri Perak.

Sumber asal daripada: Portal Perak News

2 Feb 2015

Selamat Datang Pelajar Praktikal UiTM Ke Perpustakaan IPGKI

Kami telah mengalu-alukan dan menerima kehadiran seorang pelatih praktikal perpustakaan dari UiTM Sungai Petani, Kedah.

Ribuan terima kasih diucapkan kerana telah memilih Perpustakaan IPGKI sebagai tempat untuk menjalani latihan praktikal selama 5 bulan bermula dari 2 Februari 2015 sehingga 30 Jun 2015 nanti.

Diharapkan dapat memberi kerjasama dan sumbangan yang memuaskan. Gunakan peluang yang ada untuk menimba ilmu sebanyak mungkin sepanjang menjalani latihan praktikum disini.