Selamat Datang ke Blog Rasmi Perpustakaan Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh....
Showing posts with label Arkib Berita. Show all posts
Showing posts with label Arkib Berita. Show all posts

3 Aug 2026

ANUGERAH PEMINJAM TERBANYAK BULANAN PUSAT SUMBER IPGK IPOH "TOP BORROWER" 2026

 

🏆📚 TAHNIAH! ANUGERAH PEMINJAM TERBANYAK BULANAN PUSAT SUMBER IPGK IPOH! 📚🏆
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI,
31 Julai 2026 - Pusat Sumber IPG Kampus Ipoh dengan bangganya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada 'Top Borrower' bagi bulan Januari hingga Jun 2026.
Kagum betul dengan semangat dan minat membaca yang ditunjukkan! Semoga usaha ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga IPGK Ipoh untuk terus mendalami ilmu dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan di Pusat Sumber kita.
🎁 Sila hadir ke Pusat Sumber untuk mengambil hadiah
Yang lain bila lagi? Jom kerapkan langkah ke Pusat Sumber, pinjam buku rujukan atau bahan bacaan kegemaran korang, dan mana tahu bulan depan nama dan gambar anda pula yang terpampang di sini! 😉👇
Siapakah ulat buku tegar kampus kita bagi bulan Julai ni 🤔✨
📖 “Membaca Sentiasa, Intelektual Diperkasa”

15 Jun 2026

LAWATAN UPS IPG IPOH KE PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2026


LAWATAN PUSAT SUMBER IPG IPOH KE PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2026

05 Jun 2026 (Jumaat) - Unit Pusat Sumber IPG Kampus Ipoh telah mengadakan lawatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (WTC). Seramai 20 peserta telah menyertai lawatan ini termasuk Pensyarah, Pegawai Pengurusan & AKP IPG Kampus Ipoh. Kunjungan ini sebagai sokongan padu kepada penganjuran PBAKL dan Institusi Perbukuan Malaysia. Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang boleh disertai. Peserta juga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan buku-buku rujukan dan bacaan dengan kadar harga yang berpatutan serta berkesempatan berjumpa dengan penulis-penulis hebat tempatan dan antarabangsa.

"Membaca Sentiasa Intelektual Diperkasa"
"Malaysia Membaca: Merayakan Buku"-

26 Jun 2020

Kunjungan Unit Perpustakaan IPG Kampus Ipoh ke Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur



25 Jun 2020. Unit Perpustakaan IPGKI telah berkunjung ke Perpustakaan Negara Malaysia untuk mengambil buku sumbangan di Unit Hadiah dan Sumbangan, mengambil 6 set bunting U-Pustaka dan Jom Baca di Bahagian Gerakan Literasi Maklumat, menyerahkan beberapa buah penerbitan IPG Kampus Ipoh sepanjang PKP/PKPB/PKPP ke Pusat Penyerahan Negara dan seterusnya mendengar taklimat ringkas berkaitan U-Pustaka di Galeri U-Pustaka.
Terima kasih kepada En.
Yazid Ibrahim
kerana sudi berkongsi maklumat yang bermanfaat ini. Begitu juga kepada rakan-rakan di Perpustakaan Negara Malaysia kerana sudi menerima kunjungan dari kami.
Kepada Perpustakaan Politeknik Ungku Omar Ipoh, Perpustakaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perpustakaan Raja Perempuan Bainun, Perpustakaan Kolej Kesihatan Sultan Azlan Shah, Perpustakaan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Perak dan Perpustakaan Pusat Latihan Askar Wataniah boleh mengambil bunting kiriman kalian di perpustakaan kami bila-bila masa. Kami menunggu kehadiran kalian. 🥰

2 Apr 2018

Program Syarahan Perdana: Sastera Perak Warisan Raja Chulan dan Raja Haji Yahya oleh Prof. Dr.Jelani Harun (USM)

Pada 1 April 2018, Dr. Mohd Nazri bin Zainuddin (Ketua Unit Pusat Sumber / Pensyarah Kesusasteraan Melayu) telah mengikuti  Program Syarahan Perdana: Sastera Perak Warisan Raja Chulandan Raja Haji Yahya yang disampaikan oleh Prof. Dr. Jelani Harun dari Universiti Sains Malaysia (USM). Program ini diadakan di Hotel Casuarina @ Meru, Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak anjuran Persatuan Karyawan Pk. Beliau juga sempat merakamkan gambar kenangan bersama Profesor Emeritus Dr. Bukhari Lubis yang turut serta dalam program tersebut.

24 Apr 2015

Tahukah Anda??? Perpustakaan Pertama di Dunia Yang Mempunyai Pawagam 6D.

Tahukah Anda???

Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13, Petaling Jaya, Selangor merupakan perpustakaan pertama di dunia yang dilengkapi dengan sistem pawagam 6D. Perkara ini telah pun dicatatkan di dalam  "The Malaysia Book of Records", Edisi Kesembilan 2014.

Sebuah bilik khas dibina khusus untuk pawagam 6D dimana anda boleh merasai pelbagai deria 6D ketika menggunakan bilik ini. Anda juga akan dapat menikmati suasana pengalaman pembelajaran yang amat menyeronokkan dan ianya dapat memberi kelainan serta merangsang kepekaan terhadap deria anda. Pawagam ini juga dilengkapi dengan sistem pembesar suara khas yang dapat memberikan deria rasa yang lebih realistik. Kesan 3D dan pergerakan turut digunakan bagi membolehkan anda menikmati pengalaman seperti haba, sejuk dan angin bertiup ke wajah anda selama 5 minit.

Perpustakaan ini diuruskan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin pada 10 September 2012.

(Sumber asal daripada: The Malaysia Book of Records.(9th ed.).(2014).Kuala Lumpur, Malaysia: Malaysia Book of Records Sdn Bhd.)



(Gambar sumber daripada Portal Rasmi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor: Teater XD/6D. (2014). Retrived 2015, April 24 from: http://www.ppas.gov.my/index.php/perkhidmatan/6d)

 

13 Apr 2015

Berita - Perak Rancang Rombak Sistem Perpustakaan



Perak merancang untuk merombak sistem perpustakaan di negeri ini bagi memastikan ia menjadi hub penyaluran ilmu yang lebih berkesan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perancangan itu dibuat bagi memastikan misi menjadikan Perak sebagai negeri berteraskan ilmu pengetahuan (K-State) dapat dicapai.
Menurut beliau, di negara-negara maju, perpustakaan dianggap sebagai nadi yang mengukur kemajuan sesebuah masyarakat.
"Kita mempunyai 108 perpustakaan dan dengan jumlah ini, kita mengharapkan setiap satu dapat dilengkapkan dengan sistem penyampaian selaras dengan perkembangan ilmu dan masa," katanya ketika satu sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Sudut Koleksi Dr Zambry di Perpustakaan Negeri di Ipoh pada Isnin.
Menurut beliau, antara peracangan yang akan dibuat ialah dengan mewujudkan satu kawasan interaktif untuk semua golongan, termasuk para penyelidik.
Selain itu, beliau juga mencadangkan beberapa sudut koleksi buku tokoh-tokoh yang berasal daripada negeri ini dapat diwujudkan.
"Mereka yang ternama dari negeri ini juga boleh memberi sumbangan kepada perpustakaan dengan buku-buku pilihan, sebagai contoh mewujudkan sudut Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
"Perpustakaan perlu memainkan peranan dalam sistem penyampaian ilmu yang lebih berkesan termasuk perkhidmatan terbaik bagi mencapai misi kita," ujarnya lagi.

Sumber asal daripada: Portal Perak News

15 Feb 2015

Berita - Perpustakaan Medium Keharmonian Negara

Perpustakaan merupakan satu medium efektif bagi mengumpulkan komuniti daripada berbilang bangsa selain mengisi dan meningkatkan ilmu pengetahuan sedia ada.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ramai yang tidak menyedari bahawa pembentukan negara yang maju inteleknya adalah melalui komunikasi bernas di antara berbilang kaum dan pertukaran pendapat yang berlaku secara tidak langsung melalui kewujudan bangunan ilmu seperti perpustakaan.
Menurut beliau, kerajaan menubuhkan perpustakaan untuk merealisasi hasrat memperhebat dan memperkasa budaya membaca rakyat Malaysia, khususnya di Perak di samping, berpeluang bergaul dan berinteraksi bersama rakan berbilang bangsa, dan dari pelbagai latar belakang.
"Keharmonian dan kesepakatan inilah yang sebenarnya akan memajukan Malaysia, kerana selain menimba ilmu dari halaman buku mereka juga dapat mentafsir dan melontarkan pandangan kritikal satu masa kelak," katanya kepada PerakNews.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perpustakaan 1Malaysia Dato' Seri Husni di Chemor, pada pagi Ahad.
Jelasnya, kerajaan akan sentiasa melaksanakan pelbagai program dan aktiviti dalam memastikan amalan atau budaya membaca tersemai dalam setiap ahli komuniti bagi memastikan konsep pembelajaran sepanjang hayat tercapai.
"Di sekolah atau institusi pengajian tinggi, penuntut ilmu dibekalkan dengan pembelajaran rasmi, namun dengan wujudnya gedung ilmu seperti perpustakaan ini, seluruh masyarakat di dalam dan luar bandar dapat memperoleh manfaat pembelajaran tidak rasmi sepanjang hayat mereka," katanya lagi.
Jumlah kos keseluruhan bagi perpustakaan yang dinamakan sempena ahli Parlimen Tambun tersebut adalah sebanyak RM684,000, termasuk kos pembinaan serta kos pengisian bahan bacaan dan kemudahan am yang lain.
Ahmad Husni berkata, setakat ini terdapat 84 perpustakaan desa, sebuah perpustakaan negeri, 13 perpustakaan cawangan, sebuah perpustakaan pekan dan empat perpustakaan bergerak yang telah dibina di seluruh negeri Perak.

Sumber asal daripada: Portal Perak News